Waktu Solat

Saturday 7 June 2014

Makan sisa dalam tong sampah

  • Lelaki ini mengaku berjalan kaki sejauh kira-kira 30 kilometer dari Port Dickson untuk mencari makanan dalam tong sampah di Seremban.Lelaki ini mengaku berjalan kaki sejauh kira-kira 30 kilometer dari Port Dickson untuk mencari makanan dalam tong sampah di Seremban.
 1 / 1 
SEREMBAN - “Saya berjalan kaki dari Port Dickson. Kalau di sini (Seremban) hasilnya lebih baik, saya akan tinggal lebih lama," kata seorang lelaki gelandangan ketika disoal anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini.

Lelaki berusia 43 tahun itu antara yang ditahan dalam operasi bersepadu menyelamat pengemis dan kutu rayau bermula kira-kira 6 petang dan berakhir 10 malam kelmarin di sekitar daerah ini, termasuk di Senawang dan Nilai.

Bagaimanapun, tidak diketahui sejak bila dia memulakan perjalanannya sejauh kira-kira 30 kilometer dari Port Dickson hanya untuk menyelongkar sisa makanan dalam tong sampah bagi mengisi perut.

"Biasanya saya akan tidur bawah jambatan sebab tiada tempat nak dituju. Saya tak takut kerana tiada orang yang mahu mengganggu saya," katanya.

Dia yang tidak pernah berkahwin berkata, bagi mengisi perut yang lapar, dia terpaksa menyelongkar sisa makanan dalam tong sampah.

Jika bernasib baik, dia akan dapat merasa makanan lebih baik hasil pemberian orang ramai yang bersimpati dengannya.

Ketika ditanya, lelaki berkenaan memberitahu, dia berasal dari Tanjung Karang, Selangor, namun, dia baru menjejak kaki ke negeri ini sejak seminggu lalu sebelum tinggal di beberapa tempat lain.

“Saya sudah tiga tahun tak balik kampung. Saya datang ke sini pun dengan menumpang kereta orang dan kemudian berjalan kaki," katanya.

Ketika operasi berkenaan, lelaki itu bagaimanapun secara sukarela mahu mengikut Pegawai JKM selepas ditawarkan tempat tinggal lebih selesa.

Sementara itu, dalam operasi sama, seorang lagi lelaki berusia 56 tahun ditemui sedang tidur beralaskan beg di atas kerusi di Taman Seremban.

Lelaki terbabit mengaku hidup gelandangan sejak 20 tahun lalu selepas kedua ibu bapanya meninggal dunia.

“Dulu saya tinggal dengan ibu bapa, tapi rumah itu adik perempuan saya yang tinggal sekarang. Hubungan saya dengan dia pula tidak berapa baik.

“Sejak itu saya akan tinggal di merata-rata tempat. Biasanya, saya akan bermalam di taman perumahan kerana kawasan ini selamat,” katanya.

Difahamkan, sebelum ini dia pernah ditahan dan ditempatkan di rumah kebajikan tetapi melarikan diri dengan alasan tidak selesa.

Dalam pada itu, Pengarah JKM negeri, Abdullah Hanapi berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat JKM untuk disoal siasat sebelum ditempatkan di rumah kebajikan buat sementara waktu di bawah Seksyen 3 (2) Akta Orang-Orang Papa 1977.

"Dalam tempoh lima jam, kita hanya temui dua gelandangan menunjukkan masalah itu tidak ketara di negeri ini.

"JKM sentiasa memantau aktiviti kumpulan gelandangan ini dari semasa ke semasa," katanya.

Operasi berkenaan melibatkan 22 kakitangan JKM dan turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Imigresen Negeri Sembilan dan polis.

0 comments:

Post a Comment